March 15, 2012

The Woman in Black

Latar Masa dan Klise 


Apakah yang dapat membangkit rasa seram dalam diri anda? Malam yang gelap lagi sunyi? Berada dalam sebuah rumah kosong dan terpencil? Kawasan tanah perkuburan? Tiada jawapan mutlak bagi setiap persoalan tersebut. Keseraman bergantung pada diri masing-masing.

Begitu juga halnya apabila anda menonton filem-filem genre seram di pawagam. Pelbagai reaksi dapat dilihat semasa dan selepas tayangan. Ada penonton yang menutup mata dan telinga ada yang tunduk malah ada yang menyorok di bawah kerusi. Namun terdapat dalam kalangan penonton yang tidak tergugat keberanian mereka. Bagi mereka ketakutan yang ditimbulkan sekadar imej dan bunyi yang terpancar atas skrin. 

Memang benar kebanyakan pembikin filem yang menghasilkan filem seram terperangkap dalam resipi lama ini. Kebergantungan pada elemen-elemen yang telah diguna pakai ini menyebabkan klise. Ia mungkin berkesan dan mungkin tidak. Seperti yang dinyatakan tadi, apa yang mampu menimbul rasa seram bergantung pada diri masing-masing.

Namun begitu, klise dalam filem boleh diterima pakai dengan beberapa syarat atau alasan yang mantap. Salah satunya adalah pemanfaatan latar masa yang seringkali diabaikan oleh pembikin filem. Latar masa, seperti latar tempat, memang selalu diketepikan oleh pengamal filem samada pengarah atau pelakon. Pengabaian ini mungkin akan menjejaskan kualiti filem yang dihasilkan.

Dalam filem The Woman in Black, arahan James Watkins yang ditunjangi oleh Daniel Radcliffe, latar masa filem ini berlaku pada era Edwardian di England. Dalam era ini, sistem kelas masyarakat berada di tahap paling ketat. Zaman industri semakin rancak jauh meninggalkan sistem kuno. Kemiskinan juga semakin ketara apabila perbezaan kelas antara golongan kaya dengan miskin semakin dalam jurangnya.

Era Edwardian juga seringkali disifatkan dengan suasana gelap, sugul dan muram dek kerana perubahan sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat. Dalam era ini, tekanan hebat berlaku dalam masyarakat. Era The Great Depression menyusul dengan lebih hebat lagi selepas era Edwardian ini.

Watak Arthur Kipps yang diperan oleh Daniel Radcliffe mempunyai pelbagai lapisan; seorang suami kehilangan isteri, seorang bapa, seorang peguam yang hampir dipecat dan seorang lelaki yang perlu menyelesaikan hutang piutangnya. Semua ini menjelaskan kenapa hampir separuh masa dalam filem ini Radcliffe berwajah sugul dan muram. Dalam pada itu, Arthur Kipss menggagahkan diri menyelesaikan tugasannya di sebuah rumah banglo kosong yang berhantu.


Hantu dalam filem ini digambarkan dengan imej seorang perempuan berpakaian serba hitam. Ini ialah sebuah klise yang biasa digunakan. Penduduk kampung yang mempercayai bahawa wanita berpakaian hitam lah yang membunuh anak-anak mereka atas sebab dendam peribadi juga adalah satu klise. Malah, Kipps yang berani masuk ke banglo kosong dan bekerja sepanjang hari juga adalah elemen klise yang biasa didengar. Patung-patung permainan, kawasan perkuburan, banglo kosong dan entah apa lagi- semuanya adalah elemen klise yang tekal digunakan dalam filem ini.


Persoalannya; bagaimanakah pengarah filem ini berjaya mengolah klise yang wujud supaya berada di tahap terbaik? Jawapannya adalah beliau memanfaatkan latar masa era Edwardian  (seperti yang dijelaskan tadi) dengan sebaik mungkin. Tidak dinafikan imej dan bunyi menjadi resipi utama. Namun itu sekadar di permukaan saja. Dasar filem ini ialah latar masa yang kukuh memungkinkan klise-klise yang disebutkan tadi diterima pakai. Selain itu, olahan jalan cerita yang bagus serta barisan lakonan yang mantap menjadikan filem ini dalam kelas tersendiri.

Daniel Radcliffe berjaya menyerlahkan sisi baru beliau dalam bidang lakonan. Selain itu, Ciaran Hinds dan Janet McTeer menambah kerancakan jalan cerita. Penghujung filem ini memberi satu domensi baru antara kesedihan dan kegembiraan. Ia juga menyerlahkan kebaikan hati The Woman in Black yang dianggap kejam sepanjang durasi filem ini.

Di akhir kata, seram atau tidak, takut atau berani tidak begitu penting lagi. Apa yang penting adalah pengolahan cerita yang mantap yang akan meninggalkan kesan dalam diri penonton.